Sara. Seorang budak perempuan berumur 8 tahun. Kecil tubuhnya. Tak mengerti apa yang sedang berlaku disekitarnya. Di rumah, Sara bermain seorang diri. Kadang-kadang dengan abangnya. Tika keseorangan, patung-patung di bilik menjadi teman bermainnya. Senyumannya masih juga terukir. Suatu hari, di sekolah, Sara lihat rakan-rakannya makan waktu rehat. Makanan tersebut disediakan oleh ibu mereka. Sara turut makan pada waktu itu. Tetapi, makanan yang dibeli di kantin. Ketika pulang dari sekolah, Sara bertanya kepada ayahnya "Kenapa mak tak macam mak orang lain?". Ayahnya senyap tanpa kata, teruskan memandu kereta menuju ke rumah. Sampai di rumah, semuanya seperti biasa. Kosong, perasaan kasih sayang itu tiada. Sara tetap gembira. Itu kerana dia tidak mengerti. Ayahnya turut berasa kosong. Abang? Abangnya sudah tidak punya perasaan lagi. Balik rumah, makan, menonton tv, bermain permainan dan mengayuh basikal, malamnya makan, tidur. Abangnya pun berasa kosong. Mana perginya kasih sayang dulu yang tika itu pernah mereka rasakan. Perasaan kasih sayang yang diberikan oleh seorang wanita bernama ibu?? Tika masalah mendatang, tika kaki dilakar luka, ibulah yang menyapukan ubat pada luka tersebut. Tapi kini, bila Sara mengadu luka, ibu biarkan. Sara mengubati luka itu sendirian. Ibu leka dengan telefon bimbit ditangannya. 24 jam tanpa henti. Ayah sudah penat memikirkannya.
Suatu hari, raya menjelma. Saat yang dinantikan oleh kesemua umat Islam. Begitu juga bagi Sara dan abangnya. Mereka beraya di kampung. Gembira sunnguh mereka pada hari itu. Makcik dan pakcik menumpahkan kasih sayang mereka pada kedua adik-beradik ini. Ayah juga turut terenyum. Tersenyum melihat anak-anaknya gembira. Petang itu, tika dua beradik ini sedang gembira dan tika sanak-saudara bertandang ke rumah. Satu kejadian berlaku. Ibu bising-bising mencari charger telefon bimbitnya. Seluruh isi rumah mendengar suaranya. Ibu menyalahkan makcik. Berkata itu dan ini kepada makcik. Ayah sudah tidak mampu menahan sabarnya lantas menjerit dan memarahi ibu. Seluruh isi rumah terdiam. Tika itu, Sara dan abangnya sedang bermain di luar rumah. Mereka turut terdiam terpaku seketika. Ayah sudah lama bersabar. Bersabar dengan segala-galanya. Akhirnya, hari tersebut perasaan itu tidak mampu tertahan oleh ayah lagi. Seperti gunung berapi yang meletus, seperti itulah amarah ayah ketika itu. Abang pergi mendapatkan ayah, menahan tubuh ayah daripada terus pergi mendapatkan ibu. Sara terpaku melihat kejadian itu. Banyak yang Sara dengar, banyak yang Sara lihat. Reda kejadian itu, Sara kembali bermain. Masih tersenyum. Tapi, air matanya tiba-tiba memenuhi kolam kelopak matanya. Tetapi, masih juga senyuman Sara ukirkan. Dia tetap bermain seperti biasa.
Kini, entah bagaimana perasaannya. Seorang kanak-kanak yang masih kecil. Inginkan sebuah keluarga yang gembira dan penuh dengan kasih sayang. Mungkin dia mula mengerti erti hidup. Mungkin kisahnya begini, kisah yang telah Allah tuliskan untuknya. Dia jalani hidupnya seperti biasa dengan perasaan KOSONG itu dan tetap mengukirkan senyuman dan menghamburkan gelak tawanya.
No comments:
Post a Comment